
utusan.com.my
24 Januari 2017
https://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/tiga-firma-meterai-perjanjian-bina-loji-biogas-1.435529
KUALA LUMPUR 23 Jan. – PT Herfinta Farm & Plantation, Envitec Biogas AG dan Calfield Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian pemegang saham usaha sama bagi membina loji jana kuasa biogas empat megawatt (mW) di Sumatera Utara, Indonesia.
Menurut syarikat-syarikat tersebut dalam satu kenyataan bersama hari ini, perjanjian itu ditandatangani di Berlin, Jerman, adalah berkaitan dengan operasi PT Power Energi Nusantara Indonesia iaitu syarikat usaha sama yang ditubuhkan khusus bagi membina dan mengendalikan loji jana kuasa biogas.
Duta Malaysia ke Jerman, Datuk Zulkifli Adnan berkata, kerjasama tersebut akan membuka peluang baharu dalam kalangan negara ASEAN.
“Ini adalah satu cara untuk menggunakan teknologi Jerman dan laluan berjaya bagi memindahkan teknologi baharu ke Indonesia dan Malaysia,” katanya.
PT Power Energi Nusantara Indonesia baru-baru ini menerima kelulusan daripada Lembaga Penyelarasan Pelaburan Indonesia bagi memulakan usaha niaganya dalam sektor biogas dengan pelaburan awal sebanyak 199 bilion rupiah (RM66.10 bilion) di Sumatera Utara.
Pengarahnya, Debby Fientya Ludiyantie Pane berkata, perjanjian tersebut merupakan peluang bagi sektor minyak sawit untuk mempelbagaikan perniagaan.
“Ia juga akan menjadikan industri minyak sawit ‘lebih hijau’ dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menghasilkan tenaga boleh diperbaharui menjadikannya pengeluar bersih tenaga dan bukan sekadar sebagai pengguna,” katanya. – BERNAMA
Sempat Disetop, Kasus penggelapan Minyak Sawit Siap Disidangkan
Kamis, 02 Maret 2017
Tidak Dihadiri Dirut, Dewan Batalkan Hearing dengan Eampat Perusahaan Sawit
Kamis, 02 Maret 2017